SEJARAH : Asal - Usul Kampung Pulau Rusa


'Pulau hanya ada sebatang rhu'

Laporan dan foto AHMAD RABIUL ZULKIFLI
am@hmetro.com.my



ULU jika sebut nama Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, pasti ramai jejaka terbayangkan wajah ayu gadis yang tinggal di kampung itu.
Menurut cerita orang tua-tua, gadis di situ mempunyai kulit putih gebu bak kapas serta rupa paras yang unik dan jauh lebih jelita berbanding gadis kampung lain di Terengganu.
Justeru, tidak hairan jika ramai jejaka dari kampung lain yang ingin berumah tangga sanggup pergi ke Kampung Pulau Rusa bagi mencari jodoh.

Penduduk, Mustaffa Said, 74, berkata sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957, gadis di kampung itu terkenal dengan kecantikan mereka.


“Bukan penduduk tempatan saja mengiktiraf kecantikan anak gadis kampung ini, orang luar juga beranggapan begitu sehingga dihebahkan dari mulut ke mulut, menyebabkan Kampung Pulau Rusa terkenal di seluruh Terengganu.


“Gadis kampung ini mempunyai petua tersendiri untuk kelihatan cantik. Antaranya adalah kurang berjemur di bawah cahaya matahari terik, jadi mereka tidak keluar rumah, malah ibu bapa turut melarang anak gadis mereka keluar rumah sesuka hati.

“Mereka hanya keluar rumah pada waktu Subuh dan Maghrib untuk mandi atau membasuh pakaian di sungai, manakala waktu lain dihabiskan di dalam rumah sama ada menenun kain atau membantu ibu menguruskan rumah.

“Kebetulan pula Kampung Pulau Rusa dipenuhi pokok buah-buahan, menyebabkan kawasan kampung redup dan tidak panas. Justeru, tidak hairan anak gadis di kampung ini berkulit putih,” katanya.

Mustaffa berkata, paling istimewa, gadis di situ dilarang bergaul dengan lelaki, malah tidak terdedah kepada perkara tidak elok.

“Memang gadis di kampung ini dianggap cantik oleh orang luar tetapi selepas berkahwin, biasanya si suami jarang memuji kecantikan luaran isteri kerana kecantikan dalaman lebih terserlah hasil didikan ibu bapa.

“Saya bukan anak jati kampung ini, sebaliknya berasal dari Kampung Paloh Sungai Kiat dan dibesarkan di Kampung Manir, Kuala Terengganu, tetapi dijodohkan ibu bapa dengan gadis dari Kampung Pulau Rusa dan menetap di sini sejak 1957.

“Berdasarkan pengalaman ketika dijodohkan, saya tidak berpeluang melihat wajah bakal isteri. Atas dasar percaya kepada ibu bapa, saya tidak cuba meninjau paras rupa bakal isteri, sebaliknya hanya melihatnya pada malam perkahwinan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini Kampung Pulau Rusa dikaitkan dengan gadisnya yang cantik, malah masih ramai orang luar bertanya perihal kecantikan gadis kampung itu kepadanya.

“Sekarang, Kampung Pulau Rusa mengalami pelbagai proses transformasi seiring dengan kemodenan, malah gadis atau wanitanya turut bergerak seiring dengan arus pemodenan, tiada lagi beza antara gadis Kampung Pulau Rusa dengan gadis kampung lain kerana semuanya sama cantik dan terpelajar,” katanya.

Bercerita mengenai asal usul Kampung Pulau Rusa, katanya, kampung itu sebenarnya sebuah pulau seluas 57 hektar di Sungai Terengganu dan menggunakan perahu serta bot penambang sebagai alat hubungan dengan kampung lain sebelum jambatan dibina pada 1960.

Menurutnya, perkataan Rusa pula diperoleh daripada sebatang pokok rhu yang tumbuh di tengah kampung, menyebabkan penduduk menggelarkan kampung ini Kampung Pulau Rhu Sebatang (Pulau Rhu Se) sebelum disingkatkan menjadi Kampung Pulau Rusa sekarang.

Se mengikut loghat Terengganu bermaksud satu, bagaimanapun pokok rhu itu sudah ditebang dan tapaknya kini didirikan masjid.

“Sebelum merdeka, kampung ini dibahagikan kepada lapan nama kecil, antaranya Kampung Pulau Rhu Se Chegar, Pulau Rhu Se Haji Wan Nik, Pulau Rhu Se Masjid, Pulau Rhu Se Rang, Pulau Rhu Se Sekolah dan Pulau Rhu Se Haji Wan Chik.

“Namun selepas kerajaan membina jambatan dan jalan raya, ia dibahagikan kepada dua iaitu Kampung Pulau Rusa Hulu dan Kampung Pulau Rusa Hilir yang kekal hingga sekarang,” katanya.

“Paling unik, penduduk Kampung Pulau Rusa hanya orang Melayu selain kampung ini ada lima jambatan yang menghubungkan Kampung Pulau Rusa dengan kampung lain,” katanya.


Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu

  • Sebelum merdeka, kampung ini dibahagikan kepada lapan nama kecil, antaranya Kampung Pulau Rhu Se Chegar, Pulau Rhu Se Haji Wan Nik, Pulau Rhu Se Masjid, Pulau Rhu Se Rang, Pulau Rhu Se Sekolah dan Pulau Rhu Se Haji Wan Chik.
  • Kini digabungkan menjadi Kampung Pulau Rusa Hulu dan Kampung Pulau Rusa Hilir.
  • Jumlah rumah di Kampung Pulau Rusa Hilir adalah 263 manakala Kampung Pulau Rusa Hulu pula 176.
  • Nama asal kampung itu adalah Kampung Rhu Sebatang.
  • Terletak tujuh kilometer dari Kuala Terengganu.